salam dari :
Kepale dan Kelape
HASRAT MAHATHIR BERKUASA LEBIH LAMA TIDAK DITERIMA?
Sehingga ini belum ada mana-mana pemimpin utama PH tampil bersuara menzahirkan sokongan terhadap pengumuman Tun Mahathir Mohamad mahu melewatkan lagi tarikh peralihan kuasa sehingga selesai Sidang APEC pada November 2020.
Baik daripada kalangan PKR, DAP dan Amanah, semuanya masih senyap seribu bahasa.
Lebih daripada itu, pemimpin-pemimpin daripada Bersatu sendiri, di mana Tun Mahathir adalah pengerusi parti itu juga tidak ada yang tampil menyokong pengumuman tersebut.
Kebiasaannya, sebarang perkara yang diumumkan oleh Perdana Menteri, lebih-lebih lagi berkaitan perlanjutan jawatan, mudah saja mendapat sokongan, terutama daripada golongan pengampu, pembodek dan penjilatnya.
Ikut logiknya, inilah masa paling sesuai untuk mereka membodek dan mengampu Perdana Menteri serta selepas itu bolehlah menuntut apa-apa yang perlu seperti kontrak, jawatan, kedudukan dan sebagainya.
Tetapi, mengapa tidak ada yang melakukannya?
Kenapa semua orang masih diam membisu dan senyap membatu daripada mengeluarkan kenyataan menyokong?
Apakah Tun Mahathir sudah ketiadaan pengampu, pembodek dan penjilatnya?
Apakah makna semua ini?
Apakah ini bermakna majoriti pemimpin PH, termasuk daripada Bersatu, sebenarnya turut tidak setuju dengan hasrat Tun Mahathir itu dan mereka segan untuk menzahirkannya secara terbuka, takut-takut kalau Perdana Menteri tertua itu terasa hati jika mereka berterus-terang mengenainya?
Kalau setuju, kebiasaannya tentu sudah ramai yang mengeluarkan kenyataan memberi sokongan, malah berlumba-lumba melakukannya.
Fahamkah Tun Mahathir isyarat ini?
Begitu pun, melalui perbualan umum di mana-mana dan menerusi luahan di media sosial, ternyata hampir 90 peratus netizen tidak setuju dengan apa yang diumumkan oleh Tun Mahathir itu.
Mereka merasakan, jika dalam tempoh 19 bulan ini pun tidak banyak perubahan mampu dilakukan oleh Tun Mahathir dalam memberi lebih kesejahteraan kepada rakyat dan menjadikan keadaan negara bertambah baik, memberinya tempoh lanjutan enam bulan lagi hanya menjerumuskan kerajaan kepada kedaaan yang lebih bahaya lagi.
Tambahan lagi, dengan adanya gesaan Lim Kit Siang agar kerajaan menjadikan tahun 2020 sebagai tahun menunaikan janji manifesto, ia juga adalah petunjuk bahawa tempoh 19 bulan selama ini tidak banyak menunjukkan kemajuan dari segi memenuhi kehendak rakyat.
Untuk itu kata mereka, tempoh dua tahun menjadi Perdana Menteri dan menjelang Mei 2020, peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim, tidak dapat tidak, mesti dilakukan.
Sekurang-kurangnya dengan Perdana Menteri baru mengambil alih teraju negara, harapan kepada perubahan positif itu lebih diyakini berbanding Tun Mahathir yang sejak 19 bulan lalu ternyata gagal melakukan sesuatu yang berkesan.
Satu-satunya kejayaan Tun Mahathir sejak 19 bulan lalu, hanyalah daripada sudut politik dengan menjadikan banyak parti yang dilihat mengancam kedudukannya seperti PKR, DAP dan UMNO, sentiasa bergolak dan hampir berpecah.
Tetapi, kerana beliau sudah terlalu tua, kudrat terbatas, partinya sendiri tidak kuat dan tiada orang sekelilingnya yang betul-betul seperti Megat Junid Megat Ayob, Sanusi Junid dan Aziz Shamsuddin, semua perancangan politiknya nampak mudah dibaca dan sangkut di tengah-tengah jalan.
Ohhh…cukup-cukuplah Tun!! (ShahbudinHusin 14/12/2019)
CnP wlrl
Tiada ulasan:
Catat Ulasan