KEPALE DAN KELAPE sangat-sangat mengalu-alukan dan berterima kasih kepada para blogger yang sudi link blog ini..jika ada blogger ingin bertukar-tukar link sila tinggalkan jejak anda...terima kasih

Ahad, 20 Jun 2021

DAH JADI KERAJAAN .... TIN MILO TETAP ONNN

salam dari : Kepale dan Kelape

ALOR SETAR: Ketua Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, anggapan kononnya apabila sudah menjadi kerajaan, ahli tidak perlu lagi menderma untuk parti hendaklah dikikis.

“Wang kerajaan adalah milik rakyat sebaliknya wang parti dari poket ahli sendiri. Jangan menjadi seperti sebuah parti sebelum ini yang bergantung sumber kewangan daripada kerajaan, apabila kalah dan tidak lagi menjadi kerajaan, parti itu mula mereput.

“Oleh itu PAS jangan beralih arah untuk bergantung sumbangan dan bantuan kerajaan untuk tadbir parti,” ujarnya ketika berucap pada Konvensyen Penerangan dan Media Baharu anjuran Lajnah Penerangan dan Media Baharu PAS Pusat secara atas talian, semalam.




Beliau mahukan setiap petugas parti memahami tanggungjawab berat yang terpaksa dipikul ketika ini apabila PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Katanya, selaku kerajaan apa yang dikata mesti dilaksanakan berbeza di pihak pembangkang hanya bercakap tidak perlu melakukan apa-apa tindakan.

“PAS juga mempunyai pengalaman sebagai pembangkang. Ketika itu sebahagian pemimpinnya bercakap seolah-olah tiada sempadan tapi alhamdulillah mereka itu sekarang sudah keluar dari PAS dan berpindah ke parti lain.

“Sekarang beza, bila cakap kena buat, bersandar kepada fakta dan keupayaan serta realiti kemampuan untuk melaksanakannya,” ujarnya yang juga Menteri Besar Kedah.

Justeru itu beliau akur dengan pencapaian terbaik Kerajaan Kelantan yang sudah 30 tahun mentadbir, begitu juga Terengganu yang banyak melaksanakan program-program kebajikan kepada rakyat.

Oleh itu, katanya semua perkara berkenaan perlu disebarkan kepada negeri-negeri lain agar kemampuan PAS mentadbir negeri diketahui rakyat.

Sementara untuk Kedah, secara peribadi beliau berpuas hati dengan pencapaian selama setahun di mana semua itu atas kerjasama kumpulan yang mantap.

“Di Kedah, parti dan kerajaan tidak ada masalah dan itu juga antara yang boleh melonjakkan kejayaan dalam tempoh setahun ini. Tentunya perkara ini menjadi kecemburuan pihak musuh,” ujar beliau lagi. – HARAKAHDAILY 19/6/2021