salam dari :
Kepale dan Kelape
PRU lalu, Pakatan Harapan (PH) berjaya menembusi kubu BN di Tanjung Piai. Bagaiamanapun, sejumlah faktor mungkin membuatkan gabungan itu sukar mengulangi kejayaan itu dalam PRK Sabtu ini.
Allahyarham Md Farid Md Rafik dari Bersatu menewaskan penyandang Wee Jeck Seng dengan majoriti tipis pada tahun lalu. Beliau disokong kuat oleh pengundi Cina, iaitu merangkumi 41.4 peratus penduduk di sana, dibantu dengan pengalihan sokongan masyarakat Melayu yang merangkumi 57.6 peratus.
Data menunjukkan 32 peratus pengundi Melayu dan 64 peratus pengundi Cina menyokong Farid pada PRU lalu.
Tetapi dengan tinggal beberapa hari kempen, calon Bersatu Karmaine Sardini mendapati sokongan pengundi Cina - penyokong kuat PH - kian merosot.
Pengundi Cina tampak semakin tidak gembira dengan PH atas beberapa isu - antaranya pengenalan tulisan Jawi serta kehadiran Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ke Kongres Maruah Melayu bulan lalu.
Pemimpin DAP yang berkempen untuk Karmaine menggesa pengundi melihat "gambaran lebih besar" dan berkata sebarang undi untuk BN adalah tanda sokongan terhadap kerjasama Umno dan PAS.
Mereka juga berhujah bahawa undi terhadap BN ialah tanda sokongan buat bekas perdana menteri Najib Razak, yang kini dibicarakan atas dakwaan penyelewengan dana 1MDB.
Tetapi mesej itu nampaknya kurang disambut di kalangan sejumlah pengundi, termasuk pesara Yeo Shiok Sui.
Yeo jelas tentang dakwaan terhadap Najib dan tidak gembira apabila Wee mengalu-alukan kehadirannya di Tanjung Piai, tetapi tetap bercadang mengundi Wee.
"Kami akan undi Wee. Kami ada banyak pandangan terhadap Najib dan tidak sokong dia, tetapi kami mahu memberi pengajaran terhadap PH.
"Sudah lebih setahun tetapi mereka (PH) masih menyalahkan kerajaan terdahulu. Apa yang kami mahu ialah anda (PH mentadbir) dengan baik," katanya ketika ditemui di Kukup Laut.
Katanya lagi, walaupun jika DAP yang bertanding dan bukannya Bersatu, pendiriannya tetap sama.
"Walaupun DAP yang melawan MCA, saya rasa MCA tetap akan menang. Ramai orang Cina tidak gembira dengan Mahathir dan PH, tetapi DAP tidak pernah memperkatakannya," katanya lelaki berusia 62 tahun itu.
Sementara itu, seorang pengundi berusia 64 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Kuan, berkata dia sebelum ini menyokong PH tetapi akan mengundi Wee pada PRK ini.
"Kita undi PH pada PRU lalu sebab kita mahu pertukaran kerajaan. Tetapi kali ini kita lihat calon dan bukan parti," katanya.
Trend ini nampak tersebar luas di kalangan pengundi Cina yang lebih tua, bermakna PH perlu beralih ke pengundi muda untuk mengurangkan kesan hakisan sokongan itu.
Tetapi kebanyakan orang Cina di kawasan parlimen itu bekerja di luar, terutama Singapura.
Seorang pekerja kempen PH berkata kepada Malaysiakini, dianggarkan sejumlah 40 peratus pengundi Cina tiada di Tanjung Piai.
Yeo berkata dia tidak akan memujuk anak-anaknya untuk balik dan mengundi.
"Terpulang kepada mereka. Saya tak kisah," katanya lagi.
Pengundi luar
Adun Pekan Nanas dari DAP Yeo Tung Seong yakin sokongan orang Cina di Tanjung Piai terhadap PH mencapai tahap maksimum pada PRU lalu dan untuk mengekalkannya bukanlah perkara muda.
"Senang nak tahu PH menang atau tidak. Jika trafik tak sesak pada hari mengundi, kita tahu kita telah kalah tanpa perlu buka peti undi," katanya.
Pekan Nanas adalah satu daripada dua DUN dalam kawasan parlimen itu. Satu lagi ialah Kukup.
Wee dikenali sebagai pemimpin tempatan yang bekerja keras untuk pengundi Cina dan Melayu, terutama yang lebih berusia, yang tidak kisah untuk kembali menyokongnya di saat tida gembira dengan PH.
Gerakan juga mungkin menarik sejumlah undi protes.
Walaupun kalah pada PRU lalu, Wee berjaya mengekalkan kira-kira satu pertiga sokongan pengundi Cina. Ia merupakan pencapaian membanggakan jika dibandingkan di kerusi lain yang ditandingi MCA, yang menyaksikan undi Cina menurun sehingga sepuluh peratus.
Peniaga Cheng Tin Xeng adalah salah seorang yang bercadang untuk mengundi Wee sekali lagi.
"Saya undi Wee pada PRU lalu, tetapi dia tak menang. Dia orang baik. Setiap kali anda minta bantuan, dia akan bantu. Dia memang betul-betul buat semua kerja," kata lelaki berusia 84 tahun itu.
Rasa tidak gembira pengundi juga terlihat ketika persaingan menarik hadirin untuk ceramah besar PH di Pekan Nanas Sabtu lalu. MCA berjaya menarik lebih 600 hadirin, manakala PH hanya 300.
Hakikat bahawa MCA sukar menarik hadirin di ceramahnya pada PRU lalu - walau ramai pengundi yang masih menganggotai parti itu - menunjukkan tapak sokongan sedang berubah.
Keadaan mungkin diburukkan dengan keengganan akar umbi DAP berkempen untuk Bersatu.
Dalam pertembungan yang dijangka sengit, perubahan sokongan yang kecil pun mampu meletakkan PH dalam keadaan bahaya.
Pertambahan sokongan Melayu, tetapi tak cukup
Jika ada perkembangan baik untuk PH, ia ialah berkenaan kaji selidik dalaman Bersatu yang mendapati sedikit pertambahan sokongan Melalu. Bagaimanapun ia belum mampu untuk merampas di pusat daerah mengundi yang dimenangani BN pada PRU lalu.
Sepanjang minggu lalu, ceramah PH di kawasan Melayu hanya menarik kira-kira 30 hingga 50 orang.
Namun keadaan agak baik pada Jumaat lalu, apabila Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir dan ketua pemudanya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menarik lebih 200 orang ke ceramah di pusat daerah mengundi Lubok Sawah di Pekan Nanas.
Hadirin di kalangan penduduk tempatan dan anggota parti. Pada PRU lalu, PH hanya mendapat 20.6 peratus undi di situ.
Walaupun pengundi Melayu lebih berusia masih berada di belakang BN, sejumlah pengundi muda dan pertengahan kian beralih kepada PH, bukan kerana pencapaian gabungan itu tetapi kerana sentuhan peribadi Md Farid.
Ketika ditemui di pasar Pekan Nanas, Siti Zawiyah, 50, berkata dia tidak pernah berasa semangat untuk mengundi pada masa lalu kerana "mereka semua sama".
Tetapi ia berubah apabila dia bertemu Farid. "Anda tidak boleh lihat kejujuran seseorang, tetapi anda boleh rasakannya," katanya kepada Malaysiakini.
Walaupun Farid sudah meninggal dunia, Siti bercadang untuk terus menyokong PH.
Bagaimanapun, sejumlah belia Melayu yang menyokong PH dan mempunyai tanggapan yang baik terhadap Farid, yang merupakan muka baru dalam politik, kini berada di atas pagar apabila terpaksa sekali lagi membuat pilihan antara dua politikus veteran.
Sumber Malaysiakini
Ps : Andai PH kalah...terserlahlah ke'RASIS'an puak itu..walaupun atas alasan untuk memberi pengajaran untuk kerajaan PH.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan